Pemilihan DAP: Exco dan 4 ADUN tewas mengejut
Pemimpin veteran DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan empat lagi ADUN
tewas mengejut dalam pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP negeri itu
hari ini.
Kekalahan Phee, yang juga exco
Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri,
dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling
rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.
Dalam
pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Phee, yang juga
ADUN Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada
Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa
itu.
Empat lagi ADUN yang tewas ialah Lau Keng
Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan
(Sungai Pinang) dan A.Tanahsekharan (Bagan Dalam).
Ketika
ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata
beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan
menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan
lebih gigih demi parti.
"Saya menerima kekalahan itu
dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu
perwakilan tidak mengundi saya," katanya.
Dalam
pemilihan itu, ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak
kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348
undi.
- Bernama
