Anwar : Umno Gagal Martabatkan Melayu
PETALING JAYA 28 NOV : Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno sebenarnya gagal mempertahankan hak orang-orang melayu disebalik
keangkuhan mereka mendabik dada bahawa kononnya parti pejuang sejati
memartabatkan kaum Melayu di negara ini.
Anwar menambah, Umno bersembunyi
disebalik kegagalan mereka itu dengan cuba menakutkan rakyat bahawa
Pakatan Rakyat dan PKR khususnya akan menyebabkan kedudukan mereka
terhakis jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini.
"Dalam parlimen pada 2007 lalu,
disebutkan bahawa lebih 600 ribu rakyat di negara ini hidup di bawah
paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800.
Statistik kajiselidik pendapatan isi
rumah yang dilakukan berkenaan menunjukkan hampir 90 peratus daripada
mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu...jadi
bagaimanakah mereka (Umno) boleh mendabik dada mengangkat ketuanan
melayu," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR ke 7, di
Dewan Sivik MBPJ petang tadi.
Beliau turut menyelar Umno kerana masih
gagal mempertahankan hak orang melayu walupun sudah diberi kepercayaan
memerintah negara lebih 50 tahun.
Anwar turut menyeru barisan baru
kepimpinan parti supaya berganding bahu dan bekerja keras bersama-sama
ahli parti lain dalam merealisasikan usaha parti terbabit mahu
mempertahankan hak keistimewaan Melayu.
Menurutnya, ahli parti perlu menyemai
keikhlasan dalam memperjuangkan perjuangan parti dan bangkit menghadapi
segala cabaran dan tentangan khususnya dari Umno.
"Saya melihat kongres kali ini lebih
penting dari kongres sebelumnya..dengan barisan pimpinan baru yang
dipilih serta cabaran serta serangan yang dihadapi sepanjang proses
pemilihan ," katanya lagi.
Oleh itu, sambung beliau lagi kongres
berkenaan adalah penting untuk membuka lebaran baru dalam memastikan
usaha PKR dan Pakatan Rakyat mencapai kejayaan pada PRU- 13 kelak.

